KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dicadang mewujudkan zon bebas cukai di Sarawak iaitu di Pantai Damai dan Bintulu.
Senator Datuk Ahmad Ibrahim berkata, ini kerana di Pantai Damai, Santubong pada setiap tahun dianjurkan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF)
yang menjadi tarikan pengunjung dalam dan luar negara.
Manakala, di Bintulu mempunyai hab hidrogen yang memberi nilai tambah kepada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Maka inilah masanya untuk Kerajaan Persekutuan teliti supaya dapat dibawa dan diangkat (Pantai Damai dan Bintulu masuk) dalam senarai terbaharu zon bebas cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-undang Zon Bebas (Pindaan) 2024 di Dewan Negara di sini, hari ini.
Menurut, Ahmad Ibrahim kerajaan juga boleh mencontohi pendekatan di Hunan, China dalam fokus zon bebas cukai yang merangkumi teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
