SIMANGGANG: Pesta Benak 2024 akan berlangsung di sini selama tiga hari mulai 15 hingga 17 November depan.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, pihaknya mensasarkan seramai 50,000 pengunjung pesta kali ke-21 sejak 1999.
Katanya, majlis perasmian pesta akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 16 November manakala majlis penutupan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 17 November.
“Acara kemuncak penganjuran Pesta Benak 2024 adalah acara lumba perahu ‘Regata Pesta Benak’ bagi merebut gelaran ‘Raja Sungai Batang Lupar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media penganjuran Pesta Benak 2024 di Bilik Mesyuarat Wisma SADA, di sini, hari ini.
Mahra berkata, sebanyak 20 acara lumba perahu pada Regata Pesta Benak dan pihaknya juga telah menerima permintaan penyertaan peserta dari negara Brunei.
Selain itu, pertandingan Seni Suara dan Gaya Burung akan dikekalkan pada edisi kali ini dan mendapat sambutan menggalakkan terutamanya dari peserta negara jiran Indonesia.
