Masjid Jamek Negeri Sarawak bakal berwajah baharu

KUCHING: Masjid Jamek Negeri Sarawak bakal berwajah baharu dengan pelancaran model menara baharu yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pelancaran model ini berlangsung pada Majlis ‘Menelusuri Kegemilangan’ Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) bertempat di Anjung Masjid Jamek Negeri Sarawak di sini.

Pembinaan menara berkonsepkan tenaga hijau itu dijangka bermula awal 2025 melibatkan empat menara utama setinggi 75 meter (m) serta dua menara kecil setinggi 65 (m).

Menara tersebut akan dilengkapi dengan panel solar dan lampu rendah tenaga.

Dalam pada itu, Duta Besar Republik Turki Ke Malaysia, Emir Salim Yuksel yang turut hadir dalam majlis itu menyifatkan model menara baharu Masjid Jamek Negeri Sarawak serupa seperti menara terkenal di Masjid Hagia Sophia di Turki.

“Saya teruja apabila melihat model itu yang serupa dengan Masjid Hagia Sophia dan di Hagia Sophia, sangat menarik bahawa setiap menara adalah berbeza sedikit daripada satu sama lain.

“Salah satu daripadanya sangat klasik dan dua daripadanya agak moden kerana menara tersebut telah dibina pada masa yang berbeza, bukan sekali gus,” katanya.

Sementara itu, buku terbitan LAKMNS berjudul ‘Menelusuri Kegemilangan’ turut dilancar.

Buku ini mengandungi susur galur penubuhan serta perkembangan masjid di bawah kendalian LAKMNS iaitu Masjid Bandaraya Kuching dan Masjid Jamek Negeri Sarawak serta perkembangan LAKMNS.

Ia turut memaparkan maklumat tentang transfromasi LAKMNS serta pencapaiannya sejak ditubuhkan.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman.

GAMBAR:JAPEN