CENTEXS Lundu pusat pengajian teori penerbangan pertama

LUNDU: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lundu bakal menjadi pusat pengajian ilmu teori penerbangan yang pertama di negara ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan membangunkan industri aeroangkasa sementara Tanjung Bako dipilih sebagai lokasi untuk dibina pusat latihan amalinya.

Menurutnya, latihan teorinya akan diadakan di CENTEXS Lundu kerana ia adalah kerjasama di antara CENTEXS dengan pihak yang mengendalikan disiplin aeroangkasa.

Bagaimanapun jelasnya, ia adalah interim kerana Kerajaan Sarawak akan membuka fakulti aeroangkasa di Kolej Universiti iCATS.

“Ini adalah pengajian baharu yang berhubung kait dengan teknologi tinggi kerana kita sudah ada reka bentuk cip yang mengeluarkan cip.

“Dan satu daripada penggunaan cip baharu ini adalah avionik yang berkaitan dengan sektor penerbangan.

“Jadi ini adalah ekosistem yang kita bangunkan di CENTEXS di Lundu telah dikenalpasti sebagai pusat latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Pesta dan Regata Batang Kayan Lundu 2024 di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau bersetuju untuk membina jalan baharu di bawah Jambatan Batang Kayan sebagai akses terus ke kampung berhampiran.

Selain itu, beliau juga telah meluluskan Skim Pembesaran Kampung bagi kawasan Sileng Dayak, Sileng Melayu dan sekitarnya.

Dalam pada itu, Premier Sarawak turut berkesempatan menyaksikan Perlumbaan Regatta Batang Kayan 2024 ketegori Bidar 30 Pekayuh Lelaki Saringan A dan menyampaikan hadiah pemenang Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Maraton Batang Kayan 4 kilometer).

Bertemakan ‘Kepelbagaian Budaya, Apabila Kita Semua Bersatu’, pesta ini menampilkan acara kemuncak Perlumbaan Regatta Batang Kayan 2024 yang menawarkan hadiah wang tunai RM12,000 kepada Raja Sungai yang akan dinobatkan pada majlis penangguhan Ahad ini.