Taman Negara Niah kini Tapak Warisan Dunia UNESCO

NEW DELHI: Sarawak melakar satu lagi sejarah apabila Taman Negara Niah secara rasminya diumumkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO Ke-46 2024 di New Delhi, India.
 
Pengiktirafan itu bukan sahaja membawa sinar baharu dalam industri pelancongan Sarawak tetapi menjulang nama negara di persada antarabangsa.
 
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh menyifatkan pengiktirafan terbesar itu sangat penting terhadap budaya, sejarah dan ekologi.
 
“Pengiktirafan UNESCO menggariskan kepentingan global Taman Negara Niah sebagai tapak yang mempunyai nilai sejagat yang luar biasa.
 
“Ini merupakan salah satu lagi bukti komitmen tinggi Kerajaan Sarawak dalam memelihara dan melindungi warisan semula jadi dan budaya demi kepentingan generasi akan datang,” katanya yang mengetuai delegasi Sarawak ke India.
 
Menurutnya, Taman Negara Niah terkenal dengan kepentingan arkeologinya, terutamanya Gua Niah.
 
Malah ujarnya tapak warisan bersejarah itu mempunyai beberapa bukti terawal penempatan manusia di Asia Tenggara dipercayai sejak 50,000 tahun dahulu.
 
Katanya, landskap yang memukau, kepelbagaian biologi dan warisan budaya menjadikan tapak ini yang sangat penting di peringkat Sarawak, Malaysia mahupun antarabangsa.
 
“Malah inskripsi Taman Negara Niah dalam Senarai Warisan Dunia adalah kemuncak usaha dan dedikasi bertahun-tahun oleh Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
 
“Kejayaan ini adalah berkat kerjasama yang erat di antara semua agensi-agensi kerajaan di peringkat Sarawak mahupun Persekutuan. Sokongan padu juga diberikan oleh rakyat Sarawak khususnya komuniti tempatan di kawasan Niah,” katanya.
 
Mesyuarat yang dihadiri lebih 2,000 delegasi dari 150 negara itu dirasmikan Perdana Menteri India, Shri Narendra Modi.