KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menyatakan bahawa perkara berkaitan sempadan Sarawak adalah perkara yang tidak boleh dibincangkan dalam rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, semua projek penyimpanan karbon Sarawak adalah dalam lingkungan sempadan Sarawak yang tertakluk kepada undang-undang negeri.
“Sempadan Sarawak termasuk pelanta benua dan kawasan di dalamnya adalah perkara yang tidak boleh bincangkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada kenyataan daripada Menteri Ekonomi pada 7 Ogos 2024, yang menyebut terdapat isu berkaitan dengan sempadan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri dirujuk kepada Akta Pelanta Benua 1966, Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Akta Laut Wilayah 2012.
Dalam kenyataan itu, menyebut perbincangan berkaitan dengan perbezaan pendapat sempadan (antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak) masih dijalankan.
Premier Sarawak pada mesyuarat pertama Mesyuarat Jawatankuasa Permandu berkaitan pelaksanaan MA63 pada 17 Disember 2018, dengan jelas menyatakan bahawa perkara berkaitan dengan sempadan dan tanah negeri tidak boleh dirundingkan.
Hasidah berkata, sempadan Sarawak diperluaskan oleh Perintah (Perubahan Sempadan) Sarawak 1954 untuk merangkumi kawasan pelanta benua sama ada dasar laut dan tanah di bawah laut hingga ke wilayah perairan Sarawak.
Pelanta benua, dasar laut dan tanah di bawahnya adalah tertakluk kepada ‘tanah negeri’ di bawah Seksyen 2 Kanan Tanah dan di bawah kawalan Kerajaan Sarawak mengikut Seksyen 12.
Pelanta benua adalah dalam lingkunan sempadan Sarawak justeru, adalah sebahagian daripada wilayah Sarawak.
Perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa wilayah Sarawak adalah wilayah sebelum Hari Malaysia.
Dengan demikian, selepas Hari Malaysia pelanta benua itu adalah sebahagian daripada wilayah Sarawak dan mana-mana undang-undang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri mengikut Perkara 73(b) tertakluk kepada pelanta benua dalam lingkungan sempadan Sarawak.
Penyimpanan karbon membabitkan penggunaan tanah negeri dan dengan demikian harus tertakluk kepada undang-undang negeri.
Kenyataan akhbar oleh Menteri Ekonomi meminta untuk meninterprestasi sempadan Sarawak merujuk hanya kepada tiga Akta Parlimen itu tetapi tidak mempertimbangkan semua Perintah (Perubahan Sempadan) Sarawak 1954 dan Kanun Tanah serta Perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan.
Undang-undang itu sangat jelas dan memiliki ruang untuk interprestasi berbeza.
Akta Pelanta Benua 1966 diperluaskan kepada Sarawak melalui Ordinan Kuasa Perlu Darurat No. 10 1969.
Ordinan Darurat itu telah ditamatkan di bawah Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan. Justeru, akta itu tidak lagi terpakai kepada Sarawak.
Meskipun akta itu masih terpakai di Sarawak, definisi ‘pelanta benua’ dalam akta itu dengan jelas menyatakan bahawa pelanta benua itu tidak menjejaskan wilayah negeri ini atau menghadkan wilayah perairan negeri ini dan hak dan kuasa pihak berkuasa negeri.
Kerajaan Sarawak, katanya, telah memaklumkan Kementerian Ekonomi bahawa Rang Undang-undang pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan (CCUS) yang dicadangkan tidak tertakluk kepada Sarawak.
Bagaimanapaun, seperti dipersetujui antara Perdana Menteri dan Premier Sarawak, Kerajaan Sarawak bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam menggalak dan membangunkan industri CCUS di Sarawak selaras dengan Undang-undang Negeri.
Kerajaan Sarawak telah membentangkan kertas berkaitan dengan kuasa Kerajaan Sarawak terhadap projek CCUS di negeri ini pada Majlis Tenaga Nasional pada 2 Ogos, 2024.
Pendirian Kerajaan Sarawak adalah semua projek Penyimpanan Karbon dilakukan dalam lingkungan sempadan Sarawak dikawal oleh undang-undang negeri. Kertas itu diterima tanpa bantahan oleh ahli majlis.
