Pamerkan keunikan Sarawak semasa SUKMA Ke-21

KUCHING: Pengamal media perlu mengambil peluang mempamerkan keunikan Sarawak kepada masyarakat luar menerusi laporan berita sepanjang Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, laporan berita itu tidak semestinya hanya menyentuh hal sukan sahaja, sebaliknya detik- detik manis dan menarik sepanjang berlangsung SUKMA.

“Semua ini boleh diketengahkan untuk mempromosikan keunikan dan keistimewaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Randau SUKMA XXI Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bersama Media di sini, hari ini.

SUKMA kali ini akan dianjurkan di sembilan bahagian di Sarawak, ia bakal meninggalkan pengalaman manis kepada atlet luar kerana setiap daerah memiliki tarikan dan keunikan tersendiri, katanya.

Abdullah menjelaskan, warga media harus bersikap sensitif dalam laporan berita agar tidak menimbulkan kontroversi.

Bagi menggalakkan penglibatan pengamal media di Sarawak, Abdullah mengumumkan berita baik iaitu Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menganjurkan pertandingan fotografi dan penulisan berita SUKMA.

Jelas beliau, kedua-dua kategori berkenaan masing-masing menawarkan hadiah berupa wang tunai sebanyak RM2,000 untuk tempat pertama, RM1,000 (kedua) dan RM500 (ketiga).