Ambilan 414 kakitangan teknikal JKR

KAPIT: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam usaha mengambil 414 kakitangan teknikal bagi mengisi kekurangan yang dihadapi di seluruh Sarawak terutamanya di luar bandar.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah, proses pengambilan itu untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan di Sarawak.

“Salah satu kawasan yang menghadapi masalah kekurangan kakitangan ialah Kapit. Kami berharap dapat menghantar kakitangan tambahan pada akhir tahun ini,” katanya selepas mesyuarat di Kompleks Kerajaan Negeri, Kapit, semalam.

Menyentuh tentang penarikan Elaun Bertugas Di Kawasan Pedalaman (EBKP), Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) memberitahu, beliau akan menyampaikan permintaan untuk menilai semula keputusan itu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Dulu ada elaun, saya difahamkan ianya ditarik balik tahun ini. Saya akan bawa perkara ini kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, kerana ada permintaan untuk mempertimbangkan semula keputusan ini,” katanya.

Sementara itu, menyentuh tentang mesyuarat tersebut, Uggah memberitahu, ia adalah sebahagian daripada program di bawah kementeriannya bermula di Miri, Bintulu, Mukah, Sibu, Kapit dan Sarikei esok.

Katanya, program tersebut bertujuan untuk mengumpul maklum balas daripada wakil rakyat dan agensi pelaksana di peringkat bahagian mengenai status projek yang dilaksanakan JKR dan pelbagai isu yang menghalang pelaksanaan projek.

“Kami juga mahu menilai rangkaian jalan di bahagian Kapit dengan matlamatnya untuk merancang strategi bagi menghubungkan semua jalan dengan rumah dan rumah panjang ke jalan utama.

“Kami memerlukan data ini, kami telah diberi taklimat mengenai beberapa maklumat ini. Kami akan membangunkan rancangan untuk berkongsi dengan RECODA, JKR, dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi menyelaraskan program pelaksanaan projek,” ujarnya.

Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, ADUN Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Cassidy Morris, Residen Bahagian Kapit, Galong Luang serta yang lain.

Tamat……