GJPBS sedia latihan pada jurutera

KUCHING: Pusat Latihan Gabungan Jurutera Perunding Bumiputera Sarawak (GJPBS) akan menjadi platform menyediakan latihan kepada jurutera di bawah gabungan itu serta sebagai pusat penyelidikan dan pusat makmal ujian.

Pengerusi (GJPBS), Ir. Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie berkata, pihaknya sedang mengenal pasti tapak sesuai untuk pembinaan pusat latihan tersebut.

“Tujuan utama ialah untuk menyediakan latihan kepada jurutera-jurutera, menghadiri kursus, mengadakan seminar dan sebagainya.

“Kita juga mencadangkan pusat latihan itu akan mempunyai pusat penyelidikan dan pusat makmal ujian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia (WBM) di sini, hari ini.

Katanya, projek pembinaan pusat itu dijangka bermula pada awal tahun 2026 selepas mendapat kelulusan.

Ujar beliau lagi, keseluruhan proses bermula dari mendapatkan tapak, kelulusan cadangan rekabentuk, pihak berkuasa dan sebagainya mungkin mengambil masa lebih kurang enam bulan ke satu tahun.

“Sekarang 2024, mungkin 2025 kita akan dapat kelulusan dan hujung tahun 2025 atau awal tahun 2026 akan bermula pembinaan,” tambah beliau.

Hadir sama Timbalan Pengerusi GJPBS Dato Winsel Ahtos, Setiausaha GJPBS Ir. Ts. Noorazan Morshidi dan Bendahari GJPBS Ir. Ts. Zamhuri Drahman.