Sarawak tidak menumpang kasih tubuh Malaysia

SRI AMAN: Sarawak tidak ‘menumpang kasih’ kerana bersama wilayah lain menubuhkan Malaysia sebagai negara berdaulat dengan perlembagaan sendiri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak memiliki sistem politik dan pentadbiran sendiri dengan persempadanan dan kependudukan yang jelas dan berikutan itu status Sarawak tidak dapat direndahkan sebagai entiti membentuk negara Malaysia.

“Sarawak tidak boleh dikecilkan atau direndahkan statusnya kepada status bukan rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibaca Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa Majlis Perhimpunan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024, di sini, hari ini.

Perhimpunan itu dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024 serta menteri-menteri kabinet negeri.

Abang Johari berkata, itulah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diperjuangkan oleh tokoh-tokoh Sarawak ketika berunding dengan tokoh-tokoh kemerdekaan yang lain dan pihak British.

Beliau juga menegaskan hak-hak dalam MA63 akan terus diperjuangkan dan yakin mampu diselesaikan selagi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah boleh duduk sama untuk berbincang.

Malahan beliau dan rakan kabinet berada di Kota Kinabalu, Sabah minggu lalu dalam usaha menyelesaikan perkara berkaitan MA63 dalam satu mesyuarat khas dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, sebanyak 11 perkara itu telah diselesaikan tetapi ada lagi yang masih memerlukan perbincangan berasingan antara Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan beliau sendiri.

“Antara perkara yang belum selesai ialah hak mengenai kuasa mengutip duti stem atau cukai yang perlu dibayar ketika membuat perjanjian jual-beli rumah yang boleh mencapai ratusan juta ringgit setahun di Sarawak,” jelasnya.