GEDONG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menyertai penduduk di daerah ini pada perarakan kontinjen sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Gedong pada 22 September ini.
Perkara ini dinyatakan Pegawai Daerah Gedong, Tamida Da’adi ketika berucap mewakili Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee pada majlis perasmian sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong.
Katanya, langkah menundakan tarikh perarakan itu susulan beberapa perkara tidak dapat dielakkan.
Tamida yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Bersama Sambutan Maulidur Rasul Daerah Gedong berkata, masyarakat Gedong berbangga kerana Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong turut menyertai perarakan itu nanti.
Sambutan telah bermula sejak malam Sabtu lalu dengan mengadakan pelbagai acara pertandingan pada setiap malam sehingga malam Rabu ini.
Antara aktiviti yang diadakan di pentas di Dewan Datuk Patinggi Ali ialah tilawah Al-Quran, pertandingan zikir marhaban, bacaan rawi dan nasyid.
Bagaimanapun acara di atas pentas ditangguh sementara pada malam Khamis ini dan disambung semula pada malam Ahad dengan acara penyampaian hadiah kepada pemenang bagi sebahagian acara pertandingan yang diadakan.
Acara lain ialah pertandingan pintu gerbang dan sepanduk.
Hadir sama ialah Wakil Khas Premier Sarawak di DUN Gedong, Dato’ Mohd Naroden Majais.
