UNIMAS sediakan pelbagai bantuan pelajar kurang berkemampuan

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) komited menyediakan bantuan kepada pelajar universiti itu dari golongan B40 dan kurang berkemampuan.

Antaranya Program SULUNG, Bantuan Care4U, Bantuan Pendidikan, Food@Campus, Lemari Madani, Bantuan Care4OKU dan Bantuan Medicare Aid.

Menurut kenyataan UNIMAS, Program SULUNG memastikan pelajar yang layak dijamin penginapan di asrama sepanjang tempoh pengajian, manakala pelajar cemerlang dengan GPA 3.50 ke atas akan mendapat pengecualian yuran penginapan asrama.

“Program SULUNG 2.0 yang dilaksanakan pada sesi 2023/2024 memberi manfaat kepada seramai 223 orang. Seramai 329 pelajar B40 dikenal pasti dengan peruntukan dalaman sebanyak RM473,812.67,” menurut UNIMAS.

Seramai 2,500 pelajar baharu disasarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Program SULUNG 3.0 untuk sesi 2024/2025.

Di bawah program Bantuan Care4U, pegawai hal ehwal serta kebajikan pelajar di universiti akan mengenal pasti 50 pelajar baharu berkeperluan dalam kategori golongan B40 bagi menerima bantuan sara diri berjumlah RM200.

“Manakala, Bantuan Pendidikan bagi seramai 15 penerima yang layak dengan keutamaan kepada kategori B40 Miskin Tegar dan akan menerima RM1,000 bagi membiayai yuran pengajian sebelum mendaftar masuk ke universiti,”tambah UNIMAS.

Food@Campus pula merupakan inisiatif bantuan kupon makanan berbentuk e-wallet dengan nilai RM100 kepada setiap pelajar B40 yang dikenal pasti.

Manakala, Lemari Madani disediakan dan berfungsi sebagai bakul makanan untuk menyediakan makanan kering kepada pelajar berkeperluan diselaraskan Majlis Perwakilan Pelajar melalui penggunaan dana Tabung Kebajikan Pelajar.

Selain itu, Bantuan Care4OKU iaitu bantuan khusus untuk pelajar OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bantuan Medicare Aid untuk pelajar dengan penyakit kronik.

Bagi bantuan itu, seramai enam pelajar dipertimbang menerima bantuan rawatan dan bekalan perubatan terbabit.