Graduan Sarawak Skills, Kolej Universiti i-CATS penuhi keperluan industri

KUCHING: Premier Sarawak menzahirkan rasa gembira dengan penubuhan fakulti aeroangkasa di Kolej Universiti i-CATS iaitu fakulti dan program yang pertama di Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau juga mencadangkan Kampus CENTEX di Lundu diguna pakai oleh universiti terbabit bagi menjalankan program tersebut.

Justeru, anak Sarawak harus mengambil peluang ini untuk mempelajari ilmu angkasa lepas khususnya teknologi angkasa, katanya pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS Ke-26 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.

Konvokesyen Ke-26 ini meraikan 982 graduan dengan 663 graduan daripada Sarawak Skills manakala 319 graduan lain dari Kolej Universiti i-CATS.

Graduan yang diraikan terdiri daripada pemegang Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr. Annuar Rapaee, Pengerusi Sarawak Skills Tan Sri Datuk Amar Dr. Abdul Aziz Dato Husain, Pengarah Eksekutif Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS Hallman Sabri.

Beliau menegaskan, oleh kerana bidang pengajian baharu itu amat berkaitan dengan teknologi tinggi, Sarawak membuka pusat pengajian khusus untuk semua yang berkaitan teknologi aeroangkasa, termasuk penghasilan komponen pesawat dan peralatan elektronik penerbangan.

“Adalah menjadi harapan Kerajaan Sarawak untuk melahirkan seramai mungkin bakat anak tempatan dalam memangkin industri-industri seperti yang tercatat dalam PCDS 2030 yang berlandaskan ekonomi digital dan keperihatinan dalam menangani permasalahan perubahan iklim,” katanya.

Menurut Abang Johari, Kerajaan Sarawak membangunkan industri angkasa lepas selepas Kerajaan Persekutuan mengenalpasti Sarawak sebagai tapak pelancaran satelit.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat pembangunan fizikal Malaysia yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putrajaya, katanya.

Industri angkasa lepas atau dikenali juga industri satelit, katanya, memerlukan perkhidmatan sokongan dan kumpulan Institusi Pengajian Sarawak Skills melalui Kolej Universiti i-CATS menubuhkan fakulti aeroangkasa.

Beliau berkata, kolej universiti itu
akan memberi tumpuan kepada subjek seperti astronomi, fizik, kimia dan algoritma, iaitu subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Serentak dengan itu, beliau menegaskan, Sarawak juga telah menubuhkan akademi semikonduktor untuk melatih rakyat Sarawak dalam reka bentuk cip bagi menyokong angkasa lepas serta industri aeroangkasa.

“Semuanya melibatkan kejuruteraan avionik. Cip ini bukan sahaja untuk kegunaan analog tetapi juga cip untuk menyimpan data.

“Akademi semikonduktor akan berguna kerana komponen yang sangat penting dalam industri satelit ialah komunikasi aeroangkasa yang memerlukan cip,” tegas beliau.