ScaT Fair 2024 mulai 5-6 Oktober ini di Kuching

BINTULU: Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (ScaT Fair) 2024 akan diadakan di Kuching mulai 5 hingga 6 Oktober ini.

Pameran terbabit yang bakal memacu pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Sarawak seterusnya akan diadakan di Sibu pada 2 hingga 3 November ini.

Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ScaT Fair
bertujuan memperkenalkan golongan belia peluang pendidikan TVET serta kerjaya bidang teknikal.

Katanya, pameran ini turut menampilkan acara seperti TVET Battlefield dan STEM Playground yang memberikan pengalaman langsung kemahiran teknikal yang diperlukan industri.

“ScaT Fair adalah landasan untuk menunjukkan bagaimana TVET boleh mengubah masa depan individu dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mini Seminar: Kerjasama Industri-Akademia 2024, anjuran bersama MEITD, Sarawak Skills, dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu di sini, hari ini.