KUCHING: Kejayaan Sarawak mengotakan janjinya apabila mengagihkan ‘durian runtuh’ berjumlah RM2,256,900 kepada atlet Para SUKMA.
Habuan itu susulan kejayaan mereka memenangi edisi ke-21 pada September lalu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jumlah tersebut melebihi jumlah insentif diterima atlet SUKMA berjumlah RM1.84 juta, menjadikan jumlah keseluruhan insentif yang diagihkan melebihi RM4 juta.
“Jumlah insentif yang disediakan Sarawak ialah RM2.256 juta dengan mengambil kira insentif kepada pemenang pingat untuk acara berpasukan.
“SUKMA tempoh hari kita beri insentif RM1.84 juta, bermakna jumlah keseluruhan yang diberikan Kerajaan Sarawak kepada atlet-melebihi RM4 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sarawak sempena Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Tambah Abang Johari, dengan pendapatan Sarawak kini semakin kukuh, kerajaan negeri kini mampu membangunkan sektor sukan dengan lebih agresif.
Beliau turut menggesa atlet yang akan mewakili Sarawak pada edisi SUKMA dan Para SUKMA di Selangor pada 2026 agar memastikan Ibu Pertiwiku terus berkibar megah nanti.
Pada majlis sama, Abang Johari telah menyampaikan cek bernilai RM500,000 kepada atlet Paralimpik, Bonnie Bunyau Gustin atas kejayaannya memenangi pingat emas serta memecahkan rekod dunia dalam acara para powerlifting di temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.
Pada temasya Para SUKMA lalu, kontinjen Sarawak dinobatkan johan selepas merangkul 82 pingat emas, 53 perak dan 74 gangsa, sekali gus merampas mahkota kejuaraan dari tangan Sabah.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam dan Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datu Felicia Tan Ya Hua.
