KUCHING: Sarawak akan menganjurkan temasya Sukan Olimpik Khas Kebangsaan, di sini, tahun depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, jawatankuasa Olimpik Khas Malaysia telah merisik Sarawak untuk menjadi tuan rumah bagi temasya sukan terbabit.
“Saya sebagai Pengerusi Special Olympics Sarawak memaklumkan kita akan menganjurkan Sukan Olimpik Khas Kebangsaan 2025 di Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sarawak sempena Para SUKMA XXI Sarawak 2024, di sini, hari ini.
Fatimah berkata, belajar dari pengalaman menjadi tuan rumah Para SUKMA XXI di sini, Sarawak perlu membuat penambahbaikan sebelum temasya Sukan Olimpik Khas Kebangsaan 2025.
“Khususnya Perkampungan Sukan dan venue pertandingan yang melibatkan bangunan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU),” tambahnya.
