SIBU: Projek pembinaan blok bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia Jaya Teku kini 1.39 peratus mendahului jadual.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo, projek yang bernilai RM2.75 juta itu dijangka dapat siap lebih awal berbanding jadual asal Mei 2026.
“Projek ini melibatkan sebuah blok bilik darjah terdiri dari enam bilik darjah yang memberi manfaat kepada lebih 600 murid,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke tapak projek.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, pembinaan blok bangunan baharu itu tepat pada masanya kerana jumlah penduduk yang semakin meningkat di sekitar kawasan sekolah tersebut.
“Dahulu, kawasan ini hanyalah sebuah kampung kecil tanpa pembangunan. Kini, ia telah berkembang dengan pesat,” katanya.
Beliau sehubungan itu menzahirkan terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) atas pelaksanaan projek dan berharap rojek ini akan berjalan lancar.
Katanya, pembinaan blok bangunan baharu itu mengambil kira keadaan tanah bagi mengelak masalah seperti yang berlaku pada bangunan tandas di tapak yang sama yang mengalami mendapan.
“Kami sedar bahawa keadaan tanah di Kampung Teku tidak begitu baik, dan itu adalah sesuatu di luar kawalan kami kerana sifat semula jadi tanah tersebut,” katanya.
