Sarawak lancar Akademi Aeroangkasa

LUNDU: Kerajaan Sarawak embangunkan industri aeroangkasa di negeri ini dengan melancarkan Akademi Aeroangkasa di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, akademi tersebut bukan sahaja menumpukan industri penerbangan malah meliputi bidang angkasa lepas.

Beliau turut mencadangkan agar nama Akademi Penerbangan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak CENTEXS dijenamakan semula sebagai Akademi Aeroangkasa.

Menurutnya, pembukaan dan pembangunan industri aeroangkasa di sini memperlihatkan hala tuju kerajaan dalam industri tersebut.

“Kita (kerajaan) sudah ada hala tuju untuk membangunkan industri ini, maka sebab itu kita minta CENTEXS bersama institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain menubuhkan pusat latihan.

“Kita akan bekerjasama dengan Aircraft Inspection, Repair & Overhaul Depot Sdn Bhd (AIROD) dan Aviation Design Centre (ADC). Mereka akan memindahkan tempat latihan di sini di samping menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan seperti Airbus serta yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Akademi Aeroangkasa di CENTEXS Lundu hari ini.

Katanya, industri ini sentiasa berubah dan rakyat Sarawak perlu dilatih melalui perubahan dalam teknologi industri aeroangkasa.

“Sebab itu kita ada iCATS (untuk jurusan ijazah sarjana muda) dulu sebagai asas, kemudian ke CENTEXS untuk latihan. Ketiganya ia dapat membantu industri untuk berkembang,” jelasnya.

Program latihan ini akan merangkumi pelbagai aspek termasuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk helikopter, pesawat sayap tetap dan avionik serta pembuatan aeroangkasa yang tertumpu kepada kepaingan logam, pemesinan dan proses CNC.

Sebagai permulaan, seramai 200 pelajar diterima masuk bagi program latihan di CENTEXS.

Pada majlis itu, Abang Johari menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara CENTEXS dan Aviation Design Centre (ADC) serta Kolej Universiti i-CATS.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan, ADUN Opar Billy Sujang, Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.