LUNDU: Sarawak memerlukan tenaga guru tempatan dan bukan bersikap anti Semenanjung Malaysia, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari yang meluahkan rasa kecewa apabila janji Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk mengutamakan pengambilan guru latihan dari Sarawak tidak ditunaikan berkata, beliau menyerahkan kepada Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat untuk berunding.
“Kita bukan anti rakyat Semenanjung Malaysia, tetapi Sarawak sememangnya perlu kepada tenaga guru tempatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Akademi Aeroangkasa di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), di sini, hari ini.
Beliau berkata, pada awalnya SPP telah memberi jaminan bahawa pengambilan guru baharu akan diutamakan kepada calon-calon dari negeri Sarawak, namun keputusan itu tiba-tiba diubah apabila pengambilan juga dibuka kepada calon dari Semenanjung.
“Kita juga menekankan bahawa keputusan ini juga tidak mencerminkan Kerajaan Sarawak bersikap anti terhadap rakyat Semenanjung, tetapi Sarawak memerlukan tenaga guru tempatan,” katanya.
“Ini bermakna ia (perjanjian) tidak ditunaikan, justeru saya serahkan kepada Dato Sri Roland Sagah Wee Inn untuk berunding,” katanya.
Menurut Abang Johari, keutamaan yang diberikan kepada anak Sarawak supaya tidak ada guru dari Semenanjung meminta perpindahan selepas beberapa tahun berkhidmat di negeri ini.
“Jika anak Sarawak yang mengajar di sini, mereka hanya akan minta perpindahan ke tempat lain dalam negeri ini sendiri seperti Dalat ke Sarikei,” jelasnya.
Sementara itu, Dato Sri Roland Sagah turut menyuarakan kekecewaan terhadap pengambilan guru latihan yang membabitkan calon luar Sarawak.
“Mereka sepatutnya melihat jumlah permohonan yang begitu ramai daripada anak Sarawak dan hanya menerima calon tempatan sahaja. Tetapi, pengambilan kali ini juga melibatkan calon bukan dari Sarawak.
“Kami telah membuat persiapan malah persetujuan sudah dicapai, namun ia tidak ditunaikan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai pengambilan guru latihan seterusnya, Sagah berkata, setakat ini, kementeriannya belum mempunyai sebarang perancangan.
“Kita tidak tahu bila pengambilan seterusnya akan dibuat. Pengambilan kali ini adalah untuk mengisi kekosongan (guru) yang ada di Sarawak,” ujarnya.
