KPM harus utamakan anak Sarawak dalam ambilan khas guru

LUNDU: Isu kekurangan guru di Sarawak mampu diselesaikan jika anak-anak tempatan diberi keutamaan dalam pengambilan khas guru di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, isu ini wujud kerana pertukaran guru yang kerap terutamanya dari Semenanjung Malaysia yang memohon untuk dipindahkan kembali ke tempat asal selepas berkhidmat selama dua tahun di negeri ini.

Justeru, Abang Johari menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengutamakan anak-anak Sarawak dalam pengambilan khas guru.

“Jika anak Sarawak yang mengajar di sini, mereka hanya akan minta perpindahan ke tempat lain dalam negeri ini sahaja seperti Dalat ke Sarikei.

“Sebab itu, kita inginkan pengambilan awal guru dengan lebih banyak anak Sarawak tapi kini tidak ditunaikan.

“Perkara ini telah saya serahkan kepada Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn yang kini masih berbincang bersama Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Akademi Aeroangkasa di CENTEXS Lundu hari ini.

Sementara itu, Roland Sagah ketika mengulas perkara itu berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sepatutnya hanya menerima rakyat Sarawak untuk perkara ini disebabkan lebih 15,000 yang memohon untuk pengambilan guru tersebut.

Katanya, lebih 2,000 orang luar Sarawak yang memohon bagi pengambilan guru khas tersebut.

“Kali ini, mereka pula ingin memberikan tempat tersebut kepada orang bukan Sarawak di mana saya tidak berapa gembira dengan perkara tersebut.

“Hal ini kerana kita sudah berbincang dengan mereka dan pelan tersebut sepatutnya dijalankan mengikut yang ditetapkan,” ujarnya.

Baru-baru ini, SPP telah membuka pengambilan khas guru Sarawak kepada negeri-negeri lain hingga menimbulkan rasa tidak puas hati pemimpin negeri ini.