Penubuhan sayap belia Parti PBB perkukuh peranan belia

BINTANGOR: Penubuhan sayap belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan memperkukuhkan peranan dan masa depan golongan belia khususnya di negeri ini.

Menurut Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS, Datuk Abdullah Saidol, beliau yakin langkah ini akan diikuti oleh rakan-rakan parti komponen lain dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau pada masa sama menasihati pemimpin kampung dan rumah panjang agar lebih melibatkan golongan belia dalam mencadangkan program-program yang sesuai bagi pembangunan mereka.

Tegasnya, selain pembangunan infrastruktur, kerajaan juga berusaha memastikan pembangunan modal insan seiring dengan arus kemajuan moden.
“Warga belia Sarawak perlu didedahkan kepada maklumat terkini, program latihan dan ilmu pengetahuan bagi memastikan negeri ini terus maju dengan pembangunan lestari yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa meninjau cadangan pelaksanaan beberapa projek di bawah Skim Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Sungai Sian, Kampung Tanjung Bundong dan Selidap, Bintangor hari ini.

Empat projek RTP dianggarkan bernilai RM1.91 juta dilaksanakan melibatkan pembinaan sebuah dewan terbuka, dua jambatan besi serta menaiktaraf jalan titian kepada jalan bersemen.

Projek-projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dalam meningkatkan kualiti infrastruktur di kawasan luar bandar tersebut.

Abdullah turut menerima beberapa cadangan baharu semasa sesi dialog bersama penduduk kampung, antaranya ialah permohonan menaik taraf kemudahan dewan dan pembinaan tempat rekreasi.