Tentera Darat Malaysia, Australia laksana latihan bersama

SIBU: Tentera Darat Malaysia dan Australia melaksanakan latihan Eks HARINGAROO Siri 74/2024 bagi memperkukuh kerjasama pertahanan kedua negara di sini.

Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi diiringi Panglima 9 Briged, Brig Jen Ahmad Norzaini Badrun telah turun padang ke lokasi latihan itu hari ini.

Lawatan dimulakan dengan taklimat oleh Lt Kol Majani Japon, Pegawai Memerintah Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) yang memperincikan mekanisme aturgerak latihan medan yang berlangsung mulai 22 hingga 27 Oktober ini di kawasan Stapang – Nanga Sekuau.

Mohd Sofi turut berinteraksi bersama anggota 3 RRD dan Rifle Company Butterworth – Tentera Darat Australia (RCB – TDA) bagi menilai pelaksanaan prosedur, konfigurasi dan pencapaian objektif latihan itu.

Lawatan ke Hospital Medan kendalian Batalion Pertama Perubatan di Markas Kawalan 9 Bgd turut dilaksanakan bagi menegaskan kepentingan elemen perubatan di lapangan.