Tanjung Datu hab pelancongan

KUCHING: Untuk menjadikan N3 Tanjong Datu sebagai hab pelancongan, apa yang dirancang perlu relevan dengan apa yang ada sekarang seperti pembentangan zon Sampadi sebagai tapak perumahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan menegaskan, perancangan itu perlu disusun setelah membuat kaji selidik penduduk dan pendapatan perkapita isu rumah.

Hasil kaji selidik itu akan menepati perancangan dan tiada pembaziran peruntukan, katanya pada Majlis Penangguhan LAB Pembangunan N3 Tanjong Datu di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Menurut Azizul, menjadi hab pelancongan merupakan visi pembangunan di N3 Tanjong Datu selari dengan visi Premier Sarawak menjadikannya seperti Dubai bukan hanya untuk Zon Selatan tapi juga di Sarawak.

Penyediaan infrastruktur utama seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air mesti lengkap jika mahu menjadi Tanjung Datu sebagai hab pelancongan, tegas beliau.

Lab Pembangunan N3 Tanjong Datu 2024 merupakan keseimbungan daripada LAB N3 Tanjong Datu 2022.

Ia menjadi penanda aras perkembangan terkini projek sejak dilaksanakan agar penambahbaikan dapat dijalan untuk mencapai matlamat projek daripada maklum balas pemimpin masyarakat Daerah Lundu serta Kaunselor Majlis Daerah Lundu, katanya.

Tambahnya, dalam jangka masa tiga tahun (2022-2024) sebanyak 311 projek dilaksanakan mengikut kategori iaitu Projek Transformasi Luar Bandar Sarawak (RTP), Projek Rakyat, Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA), Projek Kecil Luar Bandar Sarawak (MRP), Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).

Sebanyak tiga zon di Tanjong Datu iaitu Zon Lundu, Sematan dan Sampadi membuat pembentangan projek melalui perbincangan kumpulan yamg dianggotai oleh ketua-ketua kaum dan masyarakat Daerah Lundu dan Kaunselor berdasarkan keperluan di Zon masing-masing.