Masjid Al-Haj Kampung Jerijeh siap, mampu tampung 1,000 jemaah

TANJUNG MANIS: Penantian umat Islam Kampung Jerijeh untuk menunaikan solat di masjid baharu
tercapai apabila pembinaan Masjid Al-Haj Kampung Jerijeh siap.

Perasmian masjid dibina dengan kos RM5.37 juta itu
dilakukan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini.

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, masjid tersebut mula dibina sejak 2017 namun disebabkan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan projek tersebut mengalami kelewatan namun berjaya disiapkan sepenuhnya pada 13 Januari 2023.

Katanya, kerja-kerja menaik taraf terus dilakukan seperti kawasan parkir perkarangan masjid ini yang dilaksanakan pada tahun lalu.

“Keseluruhan kos projek pembinaan Masjid Al-Haj termasuk kemudahan asas berjumlah RM5.37 juta yang dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan daripada Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) saya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian masjid tersebut.

Ia dapat menampung sehingga 1,000 jemaah dalam satu masa-satu dan dilengkapi dengan penghawa dingin, karpet dan kipas hasil sumbangan orang ramai.
 
Dalam pada itu katanya, masjid lama yang bersebelahan Masjid Al-Haj turut digunapakai untuk aktiviti pengajian kelas Al-Quran serta pelbagai aktiviti.

Tun Dr Wan Junaidi turut bersama-sama menunaikan solat Jumaat bersama penduduk setempat manakala Toh Puan Fauziah berkesempatan melawat ke Pusat Tenunan Songket Kampung Rajang.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir. Yusuf Abd Wahab, Mufti Sarawak Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak Mual Suaud serta tetamu jemputan yang lain.