KUCHING: Mesyuarat bagi mengemaskini perincian status projek Kerajaan Persekutuan di Sarawak termasuk di sempadan Kalimantan akan diadakan bulan depan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, mesyuarat terbabit akan diadakan di Sarawak bersama-sama semua agensi pelaksana projek itu di peringkat Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
“Ia bertujuan melihat kemaskini kepada semua projek-projek yang dilaksanakan, status projek dan sebagainya, termasuk kalau ada projek sakit dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Town Hall Discussion 2024: “Hentikan!! Ancaman Scammer, Dadah dan Judi Online” di Dewan Malaysia Jaya di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, beliau juga akan pergi memantau sendiri pelaksanaan projek terbabit di Sarawak dan Sabah.
