MIRI: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan projek pembekalan gas memasak melalui saluran paip gas di rumah-rumah di seluruh negeri bagi menggantikan penggunaan tong gas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan projek tersebut akan dilaksanakan melalui syarikat minyak dan gas miliknya, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Beliau bagaimanapun menegaskan dana yang besar diperlukan untuk merealisasikan projek tersebut.
“Macam di sini pemasangannya ditanggung PETROS, dengan pendapatan bertambah nanti, kita akan adakan pemasangan tersebut di rumah kita sekali gus turut meringankan beban rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengadakan Lawatan Tapak Projek Paip Gas Perumahan Quadruplex Taman Ceria (QTC) Miri Sarawak hari ini.
Katanya, inisiatif itu turut diperluaskan kepada komuniti perniagaan untuk memudahkan rakyat meningkatkan ekonomi mereka.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak.
