Semangat juang ahli bantu Cawangan Daro jadi kubu kuat Parti PBB – Safiee

DARO: Ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini perlu menjadikan Cawangan Daro antara cawangan terbaik sekali gus contoh kepada cawangan-cawangan lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, Cawangan Daro menjadi kubu kuat Parti PBB sejak dari dahulu lagi kerana semangat perjuangan yang ditunjukkan ahli-ahli kukuh dan ikhlas.

“Mereka (ahli) bekerja secara ikhlas dan semangat juang mereka ini harus dijadikan contoh.

“Ahli-ahli parti PBB di sini telah menunjukkan semangat perjuangan yang kuat serta ikhlas berkhidmat kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tritahunan Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti PBB Cawangan Daro di Dewan Masyarakat Daro di sini, hari ini.

Safiee yang juga Ketua Cawangan Parti PBB Daro menegaskan, kemenangan besar yang diperoleh dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021 dan Pilihan Raya Umum 2022 adalah kerana perjuangan ikhlas dan bersungguh-sungguh semua ahli.

Kemenangan itu katanya, menjadikan Parti PBB disegani.

Beliau juga berkata, kemenangan pilihan raya negeri dan parlimen itu turut menunjukkan ahli-ahli parti tidak mementing jawatan tetapi lebih mengutamakan perjuangan.

“Jawatan dalam parti bagi saya tidak penting. Yang lebih penting adalah jiwa perjuangan. Teruskan perjuangan itu untuk memastikan Daro menjadi kubu kuat Parti PBB,” tegas beliau.

Safiee berkata, perjuangan ahli-ahli parti di sini juga memberi sumbangan bermakna kepada Yang di-Pertua Parti PBB dalam merancang pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, mesyuarat perwakilan Pemuda diselaras oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi Pemuda Parti PBB, Abang Mohd. Afiq Abang Kassim manakala mesyuarat wanita diselaras Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fridah Osman dan Ketua Wanita Kuala Rejang, Misiah Abu Seman.

Sementara, Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Cawangan Daro bakal dirasmikan oleh Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB merangkap Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.