Projek CCGT akan dibangun di Kuching, Bintulu

MIRI: Sarawak akan membangunkan projek ‘Combine Cycle Gas Turbine (CCGT)’ di Bintulu dan Kuching dalam usaha untuk menjadi hab pembekal tenaga bersih utama di rantau ini.

Ketika ini, projek tersebut sedang dibangunkan di Miri oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg berkata, Bintulu akan dibangunkan dalam tiga fasa dengan kapasiti 1.5 Gigawatt (GW).

Katanya, Sarawak mensasarkan untuk membekalkan 10 GW tenaga pada 2030, yang akan menyokong kawasan tempatan dan juga negara jiran.

“Sasaran saya pada 2035 akan menjadi 15 Gigawatt ataupun 15,000 Megawatt, itu adalah gas, belum termasuk dengan tenaga solar lagi dan solar terapung akan menjana lebih elektrik, sebabnya Sarawak akan menjadi ‘Battery Of Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan sidang media sejurus selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah CCGT Power Plant di Lutong hari ini.

Menurutnya, Sarawak akan memfokuskan pada tenaga lestari yang tidak mengeluarkan karbon, menggunakan kombinasi hidrogen dan gas.

Tambah beliau, Sarawak akan meningkatkan penggunaan tenaga lestari daripada 30 peratus kepada 70 peratus melalui penjanaan tenaga baharu, menjadikan Sarawak sebagai peneraju pertama yang menggunakan kombinasi penjanaan tenaga tersebut.

“Indonesia belum ada lagi dan juga Semenanjung, begitu juga negara-negara di utara iaitu Laos, Thailand mungkin belum dan kita yang pertama.

“Bekalan kita elektrik disebut sebagai rendah karbon. Jadi kita ini adalah pembekal tenaga yang lestari dan ini akan membangunkan kawasan utara,” katanya.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak.