KUCHING: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan Parlimen Petra Jaya khususnya perlu bersama-sama pihak polis dan agensi penguatkuasa lain memantau lesen perniagaan bagi mengekang penyalahgunaan premis perniagaan.
Langkah itu penting supaya lesen perniagaan itu tidak disalahgunakan untuk tujuan tidak bermoral seperti perjudian, kes penipuan dan sebagainya.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, oleh kerana bilangan kes semakin meningkat maka penguatkuasaan dan pemantauan konsisten amat diperlukan.
“Agensi penguatkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) harus memastikan lesen yang dikeluarkan itu bagi tujuan betul.
“Antara tindakan boleh diambil termasuk memotong bekalan elektrik dan juga pembatalan lesen tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Town Hall Discussion 2024: “Hentikan!! Ancaman Scammer, Dadah dan Judi Online” anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen P194 Petra Jaya di Dewan Malaysia Jaya di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, antara Januari hingga Oktober 2023 sebanyak 509 kes penipuan dilaporkan di IPD Kuching melibatkan kerugian sebanyak RM27.08 juta.
“Manakala, antara Januari hingga Oktober 2024 pula, sebanyak 362 kes penipuan dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak RM27.4 juta,” katanya.
Menurutnya, di Daerah Kuching sahaja, sebanyak 11 kes dengan 16 tangkapan dilaporkan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 antara Januari hingga Oktober tahun ini, berbanding 21 kes dengan 44 tangkapan dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu.
“Dari segi nilai rampasan dadah pula, nilai rampasan antara Januari hingga Oktober tahun ini ialah RM996,292.30 berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan nilai rampasan sebanyak RM9.9 juta,” tambahnya.
Fadillah berkata, bagi Daerah Kuching, antara Januari hingga Oktober 2024 sebanyak 94 kes judi online dilaporkan dan disiasat di bawah Seksyen 4B (b) Akta
Rumah Judi Terbuka 1953, berbanding 308 kes disiasat mengikut seksyen dan akta sama dalam tempoh 10 bulan tahun lalu.
