Amalan membaca bantu bangunkan komuniti

TANJUNG MANIS: Penduduk luar bandar perlu menjadikan amalan membaca sebagai rutin harian.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, ini khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang.

“Semua penduduk N.41 Kuala Rajang khususnya dan rakyat Sarawak amnya, marilah kita berganding bahu menjadikan amalan membaca sebagai rutin harian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Karnival Sarawakku Membaca di kawasan N.41 Kuala Rajang di sini, hari ini.

Len berkata, beliau yakin dengan melaksanakan amalan ini secara konsisten, sama ada dalam kumpulan kecil atau besar akan melihat perubahan ketara dalam taraf hidup komuniti.

“Kita sedar bahawa akses kepada bahan bacaan dan peluang pembelajaran sering kali terhad, terutamanya di luar bandar,” katanya.

Sehubungan itu katanya, melalui Karnival Sarawakku Membaca ini, pihaknya komited untuk memastikan bahawa setiap orang di Sarawak, tanpa mengira tempat tinggal, mempunyai akses yang sama kepada ilmu pengetahuan dan peluang pembelajaran.