SAREX24 promosikan e-sukan, berlangsung 13-15 Disember

KUCHING: Ekspo Esports Sarawak 2024 (SAREX24) akan diadakan di Tapak Acara Majlis Bandaraya Kuching Utara (MBKS), di sini, mulai 13 hingga 15 Disember ini.

Seramai 600 peserta dari luar negara merangkumi Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Laos, Cambodia, Vietnam, Timor-Leste dan Myanmar telah mendaftar menyertai SAREX24 setakat November ini.

Acara itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM80,000 dan akan dimeriahkan dengan bengkel sukan elektronik, keusahawan digital serta teknologi terkini dunia sukan elektronik.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ekspo itu akan memperkasakan bakat belia dan memupuk ekonomi kreatif yang semakin berkembang maju.

”Melalui SAREX24, kita bukan sahaja mempromosikan e-sukan malah turut menyediakan platform untuk pembelajaran, kerjasama dan peluang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ekspo ESports Sarawak 2024 (SAREX24), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu.