SPAOH: Setiap tanah yang diambil kerajaan untuk melaksanakan projek pembangunan akan dibayar pampasan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelaksanaan projek pembangunan seperti pembinaan taman agro, klinik, jalan raya dan pelbagai lagi prasarana di Betong memerlukan tanah.
Justeru, beliau mengingatkan penerima pampasan menggunakan secara berhemah wang pampasan tersebut.
“Walaupun kita kehilangan tanah, tapi kita ada wang pampasan.
“Gunakan wang pampasan secara berhemah. Jadikan tabungan untuk masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah bagi Projek Kawasan DUN N.37 Bukit Saban hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Infratruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, dua fasiliti kesihatan akan dibina di Spaoh iaitu pusat hemodialisis dan klinik kesihatan baharu.
Ujarnya, pembinaan klinik kesihatan baharu di Sapoh sangat bertepatan berikutan keadaan klinik lama yang semakin daif selain peningkatan jumlah penduduk di Spaoh termasuk di sekitarnya, seperti Kampung Bungin, Kampung Manggut dan kawasan lain.
Pembinaan klinik ini katanya akan mengurangkan beban pesakit di Klinik Mid Layar Betong dan Hospital Betong.
“Saya belum dimaklumkan kos pembinaan klinik ini, tetapi, hari ini kita telah selesai proses pengambilan balik tanah projek tersebut melibatkan tanah seluas 2.6625 hektar membabitkan kos RM505,318.50,” katanya.
Mengenai pusat hemodialisis pula, beliau berkata pembinaannya diluluskan dengan peruntukan RM5 juta melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Katanya, BDDA akan membina tiga pusat dialisis iaitu di Spaoh, Kabong dan Beladin bagi menampung keperluan yang semakin meningkat di kawasan itu.
Buat masa ini, kemudahan dialisis di Betong hanya disediakan di Hospital Betong dan Klinik Kesihatan Debak.
