KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat delegasi Tabung Baitulmal Sarawak (Majlis Islam Sarawak) dan Lembaga Tabung Haji (LTH) di Astana Negeri, di sini, hari ini.
Kunjungan hormat diketuai Pengurus Besar, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Datu Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie sempena penyerahan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2023 dari LTH berjumlah RM1,982,506.48 kepada TBS.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menjadi saksi majlis penyerahan zakat tersebut yang bertujuan membantu golongan asnaf dan masyarakat Islam memerlukan di Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Sektor Operasi; Ustaz Mohammad Yusree Was Mohd Zain, Bahagian Komunikasi TBS; Huda Diyana Datu Kipli, Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak; Datuk Nurlaila Said, Pengarah Negeri; Amat Kassim Pait, Madehi Mahdan dan Hazidah Bujang Salleh.
