Perbincangan agihan gas Petronas-Petros selesai: PM

KUALA LUMPUR: Perbincangan mengenai pengagihan gas di Sarawak antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) telah selesai.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa ini kerajaan sedang memperhalusi butiran, parameter dan implikasi daripada langkah berkenaan.

Memetik laporan Bernama pada Khamis, Anwar berkata, beliau telah mengadakan perbincangan yang baik dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai perkara itu dan telah mencapai keputusan yang jelas.

“Perbincangan telah selesai, tetapi kami sedang meneliti butiran, parameter dan implikasi undang-undang (mengenainya),” katanya kepada selepas melancarkan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.

Semalam, Abang Johari dilaporkan berkata perincian formula berkaitan penyelesaian isu pengagihan gas akan diserahkan kepada Perdana Menteri.

“Saya minta Perdana Menteri yang mengumumkan (perincian formula penyelesaian itu). Tunggu sahajalah,” kata Abang Johari selepas menghadiri Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Philippines East Asean Growth Area (BIMP-EAGA) Keempat.

Dalam wawancara khas bersama TVS sebelum ini, Abang Johari berkata, isu pengagihan gas itu sudah boleh dianggap selesai sementara menanti pengumuman sebenar yang akan dibuat Anwar.

Abang Johari berkata, isu pengagihan gas itu hanya melibatkan sudut perundangan yang mana Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang dirujuk Petronas dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang dikuatkuasakan oleh Sarawak dapat wujud bersama-sama.