LAWAS: Projek pembinaan pejabat Daerah Kecil Trusan baharu selain melibatkan bangunan pejabat juga merangkumi pembinaan anjung usahawan, masjid pekan kecil Trusan, bangunan komersial dan sebagainya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek pembinaan Pejabat Daerah Kecil itu yang merupakan sebahagian komponen terkandung dalam pelan utama pembangunan pekan kecil Trusan Lawas akan dilaksanakan secara berperingkat.
Projek Pejabat Daerah Kecil Trusan baharu itu yang sudah diluluskan sebelum ini akan dibina di tapak baharu, katanya ketika meninjau perkembangan Masjid Kampung Tengah Trusan Lawas di sini, hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, ia sebahagian daripada projek yang dilaksanakan mengikut pelan utama pembangunan daerah kecil Trusan.
Turut sama ialah Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abidin Dato Pengiran Jawa.
Beliau berkata, kerajaan juga akan mempercepatkan pembinaan 20 unit rumah mampu milik yang dilaksanakan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA).
Katanya, tapaknya sudah dikenal pasti dan pembinaan Masjid Kampung Tengah Trusan Lawas yang baharu juga kini dalam proses pembinaan.
Ujarnya pembinaan masjid baharu itu amat diperlukan masyarakat Islam di kawasan berkenaan khususnya memudahkan aktiviti keagamaan dijalankan.
“Bagi fasa pertama projek itu yang melibatkan kerja-kerja menimbus tanah sudah dilakukan dan masjid berkenaan akan dilengkapi bangunan dewan sebaguna selain dataran untuk perniagaan dan kegiatan rekreasi.
“Pembinaan masjid baharu ini mengikut fasa dan fasa ketiga akan dilaksanakan pada tahun depan dan pada masa sama pihak kontraktor sudah diarah untuk melakukan kerja-kerja baik pulih kebocoran dan sebagainya,” jelasnya.
