Yayasan Sarawak bantu mangsa kebakaran Kampung Hilir

SIBU: Yayasan Sarawak menghulurkan bantuan kepada 12 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Hilir di sini.

Bantuan berupa cek bernilai RM2,000 kepada setiap KIR disampaikan Timbalan Pengarah Pendidikan Yayasan Sarawak, Watson Chunggat Leonard Doo pada satu majlis ringkas di Pejabat Daerah Sibu, hari ini.

Watson memberitahu, usaha ini sejajar dengan tanggungjawab Yayasan Sarawak dalam membantu mangsa bencana seperti yang termaktub dalam perlembagaan organisasi tersebut.

“Yayasan Sarawak sentiasa berusaha membantu apabila mengetahui bencana seperti kebakaran dan sebagainya,” katanya.

Dalam kejadian pada lewat petang 22 September lalu, sebanyak 17 rumah musnah membabitkan 130 orang hilang tempat berteduh.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.