32 pegawai terima watikah lantikan ahli Majlis Pembangunan Sosial

KUCHING: Kerjasama antara wakil-wakil dari pelbagai agensi yang terlibat dapat memperkukuh usaha untuk menangani isu sosial di Sarawak secara lebih holistik.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program-program dan intervensi juga akan dilaksana dengan pendekatan lebih menyeluruh.

“Pada hari ini seramai 32 pegawai kerajaan terdiri daripada pengarah dan ketua agensi menerima watikah pelantikan sebagai ahli Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Sarawak untuk sesi 2024 hingga 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli MPS Bagi Tahun 2024, di Wisma Bapa Malaysia, di sini.

Tambah Fatimah, antara perkara yang turut dibincangkan berhubung laporan pencapaian pelaksanaan Program Intervensi Sosial MPS 2024 dan kajian Indeks Kesejahteraan Sosial Sarawak (SSWI) 2023.

Katanya, proses ini penting untuk membuat perancangan yang tepat berdasarkan keperluan melaksanakan program 2025.