KUCHING: Sarawak kekal sebagai antara negeri dengan kadar insiden kanser serviks tertinggi di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, melalui program saringan HPV DNA dari tahun 2019 hingga 2024 seramai 45,313 wanita di Sarawak menjalani ujian ini yang mampu mengesan jangkitan sehingga 10 tahun sebelum menjadi kanser.
“Walaupun 3,037 kes positif HPV dilaporkan, kita berjaya mencegah lebih banyak kes menjadi kanser melalui pengesanan awal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan 2025 di Dewan Santubong, Pusat Konvensyen CIDB di sini, hari ini.
Nancy berkata sebagai langkah strategik, Kampung Santubong yang mempunyai 790 wanita berumur 30 hingga 65 tahun dan hanya 132 wanita menjalani saringan dipilih sebagai projek perintis.
“Sasaran kami adalah untuk menyaring sekurang-kurangnya 300 wanita setiap tahun di Kampung Santubong, dan dalam tempoh dua tahun,” tambahnya.
Beliau berkata, pihaknya berharap dapat menyaring kesemua wanita yang layak dan usaha ini diharap menjadi contoh kepada negeri-negeri lain untuk menumpukan perhatian kepada lokaliti berisiko tinggi.
