Kerajaan GPS tidak bercakap kosong

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membuktikan apa yang dicakap akan dilaksanakan bagi memastikan Sarawak mengecapi manfaat sumber gasnya daripada hanya mengeksport ke luar negara.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sr Abang Johari berkata, dengan siapnya loji gas pertama di negeri ini, Sarawak telah membuktikan dapat menjayakannya seperti yang diusahakan oleh syarikat besar.

Dalam hubungan ini, Sarawak menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang memberi persetujuan kepada PETROS untuk menjadi agregator gas tunggal di negeri ini, katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata, Sarawak melangkah ke tahun baharu 2025 dengan mencapai satu lagi kejayaan besar apabila berjaya mengeksport produk metanol dari Bintulu ke China pada 14 Januari lalu.

Kejayaan mengeksport metanol yang diusahakan oleh syarikat milik Sarawak sendiri itu iaitu Sarawak Petchem dari loji metanolnya di Tanjung Kidurong, Bintulu, katanya.

“Ini mencerminkan keyakinan membangunkan sektor hiliran menggunakan sumber asli,” katanya.

Ini adalah sebagai langkah pertama Sarawak dalam menggunakan lebih banyak sumber gas untuk menghasilkan produk lain serta menjana tenaga untuk memacukan pertumbuhan ekonomi, katanya.

Menurut Abang Johari lagi, sebelum ini gas yang dieksport secara terus ke negara lain tidak memberi peluang kepada Sarawak untuk mengecapi faedah daripada rantaian nilai sektor hiliran gas.

“Kita tidak hanya mahu mengeksport gas tetapi harus dijadikan sebagai bahan untuk kegiatan hiliran,” tegas beliau.

Beliau berkata, membangunkan industri gas secara domestik akan menyediakan peluang pekerjaan bergaji tinggi dan menjana ekonomi tempatan.

Dengan pendekatan ini, beliau yakin sumber gas negeri ini akan menjadi industri hiliran utama bagi mentransformasikan ekonomi Sarawak dalam masa lima tahun akan datang dengan matlamat utama meningkatkan pendapatan isirumah.

Sarawak, katanya, harus membangunkan sumber gas itu secara sendiri bagi mewujud lebih banyak peluang ekonomi.

Beliau juga berkata, selepas sambutan Tahun Baharu Cina ini dan sebelum Hari Raya Puasa, Sarawak yang berhasrat untuk memiliki penerbangan sendiri akan menjadi kenyataan apabila kerajaan mengambilalih MASwings daripada Malaysia Aviation Group (MAG).

Proses penilaian telahpun selesai dan dalam masa terdekat Sarawak akan menandatangani perjanjian untuk mengambilalih MASwings.

“Bagi masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak, saya percaya perayaan tahun baharu ini juga membawa kegembiraan kepada kaum-kaum yang mana amalan kunjung-mengunjung memperlihatkan hubungan masyarakat yang begitu akrab sekali.

“Saya berdoa agar perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut pada setiap tahun terus dijadikan sebagai satu platform untuk memperkukuhkan keharmonian antara kaum pelbagai budaya dan agama di Bumi Kenyalang,” tegas beliau.