KUCHING: Yayasan Sime Darby akan terus melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi di Sarawak melalui pelbagai industri yang mampu membantu memperkasa komuniti di negeri ini.
Pengerusinya, Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar berkata, sehingga kini Sime Darby telah menyalurkan sebanyak RM60 juta ke Sarawak melalui yayasan tersebut dengan tiga penyumbang terbesar iaitu Sime Darby (SD) Guthrie, Sime Darby Berhad dan Sime Darby Property.
“Tiga syarikat penyumbang kami adalah SD Guthrie, yang dahulunya dikenali sebagai Sime Darby Plantations, Sime Darby Berhad, sebuah konglomerat korporat dan Sime Darby Property.
“Mereka adalah pembiaya kami, dan melalui Yayasan ini, kami telah menyalurkan sebanyak RM60 juta ke Sarawak, khususnya dalam bidang pendidikan, alam sekitar, kesihatan komuniti, sukan, serta seni dan budaya.
“Bidang-bidang ini merupakan apa yang kami panggil sebagai ‘tiang utama’,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Menara Pelita, Petra Jaya hari ini.
Tambah Tunku Tan Sri Imran, Sarawak mempunyai potensi untuk meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang bekerja keras di peringkat komuniti.
Malah, Yayasan Sime Darby jelasnya ingin terus menjadi rakan kerjasama pihak NGO dengan membantu membiayai mereka dan terus menyumbang kepada masyarakat di Sarawak.
“Setelah itu, mereka dapat berdiri sendiri dan meneruskan projek-projek seterusnya. Sarawak sememangnya sebuah negeri yang mempunyai potensi besar.
“Kami yakin masyarakat di sini akan memberi respons yang sangat baik,” ujar beliau.
Turut hadir Ahli Majlis Tadbir Urus Yayasan Sime Darby Datu Dr Rashidah Bolhassan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby Dr Yatela Zainal Abidin serta Ketua Strategi Dan Hal Ehwal Korporat Yayasan Sime Darby Muzdalifah Mohd Nasir. – UKAS
