KUCHING: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengesahkan lima jawatan tertinggi parti itu tidak akan dipertandingkan semasa Perhimpunan Agung Parti PBB Ke-16 pada 14 hingga 16 Februari ini.
Setiausaha Agung Parti PBB, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, jawatan utama itu adalah Yang di-Pertua, dua Timbalan Yang di-Pertua dan dua Naib Yang di-Pertua Kanan parti dikekalkan.
Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi, beliau berkata, keputusan itu diterima sebulat suara dari 82 cawangan parti mengusulkan agar jawatan tertinggi tersebut tidak dipertandingkan nanti.
“Resolusi itu diterima dari empat zon iaitu zon tengah (Sibu), utara (Miri), selatan (Kuching) dan Betong yang selesai mengadakan mesyuarat perwakilan di zon masing-masing mengusulkan resolusi tersebut dan diluluskan,” katanya.
Mesyuarat itu dipengerusikan Yang di-Pertua Parti PBB merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Beliau bakal merasmikan perhimpunan agung tersebut nanti.
Alexander yang juga Menteri Kerja Raya berkata, sekretariat parti akan mengeluarkan borang pencalonan untuk jawatan Naib Yang di-Pertua dan ke bawah dalam masa dua atau tiga hari ini.
“Ya, kita sudah bersedia. Borang pencalonan boleh diambil nanti dan perlu dihantar ke ibu pejabat parti selewat-lewatnya seminggu sebelum perhimpunan agung,” tambahnya.
Sementara itu, beliau menjelaskan perhimpunan agung tiga tahun sekali itu akan dihadiri kira-kira
3,213 perwakilan dan pemerhati, badan induk, pemuda dan wanita serta pergerakan belia yang merupakan julung kali menghadiri.
Mesyuarat turut dihadiri Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua parti, Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib-Naib Yang di-Pertua Kanan, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Dato’ Sri Dr Stephen Rundi, Setiausaha Agung parti, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Setiausaha Agung, Dato’ Ibrahim Baki, Setiausaha Eksekutif parti, Datuk Awang Bujang Awang Antek serta ahli-ahli MT yang lain.
