Program PERANTIS sasar lahir 100 tokoh wanita di Sarawak

KUCHING: Program ‘Women in Orange Economy’ (PERANTIS) 2025 menyasarkan untuk melahirkan 100 tokoh wanita dalam pelbagai bidang, menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri.

Ujarnya, usaha ini bertujuan memberi peluang kepada wanita muda untuk menyerlahkan kreativiti dan keupayaan mereka dalam pelbagai bidang, termasuk politik dan ekonomi.

“Di Sarawak dan seluruh Malaysia, bilangan pemimpin wanita masih kurang.

“Oleh itu, pemimpin sedia ada perlu memberi ruang kepada wanita muda untuk menunjukkan bakat dan kreativiti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program tersebut di Pustaka Negeri Sarawak, di sini semalam.

Menurut Nancy, program ini mendapat sambutan baik, dengan ribuan permohonan diterima setiap tahun.

Namun, proses saringan yang ketat menyebabkan hanya segelintir calon berjaya melangkah ke peringkat akhir.

Tahun lalu jelasnya, daripada ribuan permohonan, hanya 1,040 calon berjaya ke peringkat pemilihan dan hanya 25 peserta dipilih.

Sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk menjayakan program ini, dengan salah seorang peserta berpeluang menerima dana sehingga RM50,000 untuk melaksanakan projek mereka, katanya.

“Kriteria pemilihan bergantung kepada bidang yang dipilih peserta, sama ada politik, ekonomi, atau bidang lain. Panel akan menilai berdasarkan kesesuaian dan keberkesanan cadangan mereka,” jelasnya lagi.