DARO: Seramai 448 orang penduduk daerah ini berjaya mendaftarkan aplikasi S Pay Global dan Sarawak ID melalui Program Engagement Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang berakhir hari ini.
Program bermula sejak 24 Januari lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Daro. Pejabat Daerah Daro menyediakan 20 kaunter di 11 lokasi sekitar daerah itu termasuk kawasan pesisir yang hanya boleh dihubungi dengan laluan sungai dan dibantu oleh 16 orang sukarelawan.
Merek datang untuk mendapatkan maklumat, mendaftar perkhidmatan dan menyuarakan pandangan mereka kepada pihak berwajib.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menghadiri dan meninjau pelaksanaan SKAS Engagement Programme Bahagian Mukah di Dewan Masyarakat Daro hari ini.
Ketika ditemui katanya, program ini bertujuan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat.
“Salah satu inisiatif utama program ialah kaunter pendaftaran Sarawak ID dan S Pay yang dibuka khas untuk membantu penduduk melengkapkan data yang belum lengkap, sekali gus memastikan semua maklumat pengguna berada dalam sistem dengan sempurna,” ujarnya.
Hadir sama ialah Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh dan Pegawai Daerah Daro Zul Usup yang turut memberikan sokongan serta memantau perjalanan program bagi memastikan kejayaannya.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai SKAS boleh melayari http:sarawak.gov.my/skas.
