56,044 penerima skim bantuan kebajikan 2024

SARATOK: Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak mengendalikan sebanyak 56,044 kes penerima skim bantuan kebajikan di negeri ini pada 2024.

Skim itu ialah bantuan warga emas (BWE), Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Bantuan Am (BA), Bantuan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU), Skim Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar (BPT), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB), Bantuan Anak Pelihara (BAP) dan Bantuan Belia-Beliawanis.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, ini membabitkan peruntukan Kerajaan Sarawak dan Persekutuan berjumlah sebanyak RM258.491 juta.

“Untuk Bahagian Betong bagi tahun 2024 sahaja, peruntukan keseluruhan yang telah dibelanjakan adalah RM21.475 juta bagi 4,713 kes skim bantuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina Bahagian Betong di Dewan Pejabat Daerah Saratok, hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri; ADUN Krian, Friday Belik; Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas; Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid dan Pegawai JKM Bahagian Betong, Abdul Shamat Kassim.