KUCHING: Aset bantuan dari Sibu dan Miri telah dikerah bagi memperkuatkan petugas dalam misi menyelamat mangsa banjir di Bintulu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, keperluan aset penting dalam usaha petugas memindahkan mangsa-mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan segera.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Bahagian Bintulu telah melakukan yang terbaik. Mereka telah mengerahkan aset dari Miri, Sibu dan Bintulu sendiri untuk melengkapkan keperluan aset untuk membantu mangsa.
“Ini penting untuk kita memindahkan penduduk yang terjejas banjir dengan segera ke lapan PPS yang diaktifkan di kawasan Bintulu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Batu Kawa hari ini.
Pengerusi JPBNS itu menambah, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof akan berangkat ke Bintulu pada petang ini bagi meninjau keadaan banjir di kawasan tersebut.
Banjir di Bintulu yang dianggap paling teruk dalam sejarah setakat ini telah menjejaskan sebanyak 720 isi rumah, dengan jumlah keseluruhan mangsa yang direkodkan seramai 2,823 orang.
Ia susulan taburan hujan yang tinggi dengan merekodkan lebih 400 milimeter (m) semalam dan menenggelamkan hampir seluruh Bintulu.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS Datu Buckland Bangik, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, Pegerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai hadir sama.
