KUCHING: Mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diminta berdaftar dengan agensi berkaitan untuk menerima bantuan kerajaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, bantuan itu termasuk bayaran RM1,000 bagi setiap keluarga terjejas.
“Saya nasihatkan agar mereka mendaftar bagi membolehkan menerima bantuan. Kalau tidak berdaftar agak sukar bantuan dihulurkan. Ini kerana, kerajaan akan memberi bantuan RM1,000 nanti bagi setiap keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Haji Kamarudin, Kampung Segedup, Batu Kawa, di sini, hari ini.
Seramai 32 keluarga membabitkan 61 mangsa ditempatkan sementara di pusat berkenaan.
Hadir sama, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Samad Gani, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penduduk kampung, ahli-ahli Parti PBB Satok serta wakil Petronas yang turut sama menghulurkan sumbangan makanan.
Antara bantuan turut disampaikan ialah kelengkapan tidur, bantuan asas seperti tuala, kain pelikat, kain batik, lampin pakai buang kanak-kanak, makanan serta susu bayi.
Dalam perkembangan sama, Nancy menjelaskan, proses membawa masuk khemah dan barangan keperluan asas ke kawasan terjejas banjir masih mencabar kerana keadaan belum surut sepenuhnya.
“Dari segi logistik, penghantaran barang bantuan seperti khemah dan keperluan asas masih mencabar kerana air yang tinggi menyukarkan pergerakan lori dan bot,” tambahnya.
Nancy sehubungan itu, menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang ingin menyumbang berhubung dengan agensi kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan bantuan yang diberikan benar-benar diperlukan mangsa.
