MIRI: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berangkat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pusat Bulan Sabit Merah, Miri, bagi menziarahi mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Lereng, Miri hari ini.
Lawatan bertujuan menzahirkan keprihatinan serta memberikan sokongan moral kepada mangsa yang terjejas akibat insiden tersebut.
Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa sebagai tanda solidariti serta memastikan kebajikan mereka terpelihara.
Mengiringi lawatan tersebut ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Karim Abdul Rahman Hamzah serta isteri Datin Sri Zuraini Jabbar.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Residen Miri Galong Luang serta Ketua Polis Daerah Miri Alexon Naga Chabu.
Menurut laporan, seramai 105 mangsa daripada 25 keluarga telah dipindahkan ke PPS tersebut.
Tun Pehin Sri dan rombongan turut menerima taklimat daripada Timbalan Pengerusi PBSM Miri Dr. Subramanian dan Penasihat Cabang PBSM Miri Tan Lay Yen berhubung keadaan semasa di PPS.
Beliau turut menzahirkan harapan agar mangsa taban menghadapi ujian.
Tun Dr Wan menegaskan komitmen pihak berwajib untuk menyalurkan bantuan dengan segera bagi meringankan beban serta memastikan proses pemulihan dan penempatan semula dapat dilaksanakan dengan lancar.
