KUCHING: Ketokohan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja’afar bukan sahaja sebagai pemimpin yang berwibawa dan berintegriti tinggi, malah sebagai negarawan yang komited terhadap pembangunan Sarawak dan kemakmuran rakyatnya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sepanjang kerjayanya sama ada sebagai seorang pengamal undang-undang, ahli politik, menteri mahupun sebagai Yang di Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi sentiasa menampilkan kebijaksanaan, kesederhanaan dan keprihatinan yang luar biasa.
“Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sentiasa berpandangan bahawa kita mesti menyatukan masyarakat kita, kita tidak boleh berpecah kerana Sarawak masih dalam fasa pembangunan.
“Dengan prinsip demikian, beliau menawarkan diri untuk membantu kita dalam proses Sarawak menyatupadukan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku Pejuang Sejati: Dari Rimba ke Astana dan ‘365 Days In Astana’ di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak malam ini yang turut dihadiri Tun Dr Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Abang Johari menambah, salah satu kejayaan Tun Dr Wan Junaidi yang banyak membantu perkembangan Sarawak adalah semasa beliau memegang jawatan sebagai Menteri Undang-Undang.
“Buku ini tidak sekadar mendokumentasikan perjalanan kerjaya dan pencapaian Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, tetapi juga mengangkat nilai kepemimpinan, ketabahan dan cinta akan tanah air yang wajar dijadikan inspirasi oleh generasi masa kini dan akan datang.
“Keikhlasan dan dedikasi beliau untuk membawa kemakmuran dan hak-hak Sarawak merupakan legasi yang tidak ternilai, yang akan terus dikenang sepanjang zaman,” jelas Abang Johari lagi.
Buku, Pejuang Sejati : Dari Rimba Ke Astana menyingkap kisah hidup Tun sejak beliau masih muda, bertugas sebagai seorang pegawai polis, ahli politik dan akhirnya dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 26 Januari 2024.
Karya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suara Sarawak dan Sarawak Tribune, Dato Dr. Jeniri Amir dengan kerjasama Editor Eksekutif Suara Sarawak, Rohana Wahed ini mengisahkan perjalanan luar biasa Tun Dr Wan Junaidi sebagai pegawai polis hutan yang berjuang menentang pengganas komunis serta sumbangan besarnya terhadap landskap politik Sarawak.
Manakala, ‘365 Days In Astana’ merupakan buku meja kopi yang memaparkan secara visual tempoh setahun beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak menumpukan kepada pentadbiran, kepimpinan dan dedikasi beliau terhadap perkhidmatan awam.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak serta kenamaan lain. – UKAS
