KUCHING: Bangladesh meninjau peluang untuk berkolaborasi bersama Malaysia termasuk Sarawak menjangkau bidang sumber manusia.
Menurut Duta Besarnya Md Shameem Ahsan, perkara itu dipersetujui Malaysia dan Bangladesh semasa kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bangladesh pada Oktober tahun lalu, sekali gus meningkatkan hubungan kedua-dua negara.
Jelasnya, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh telah menandatangani Perjanjian Kerjasama (MOC) bersama Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) dua tahun lalu, menjadi langkah pertama mengenalpasti peluang kerjasama baharu.
“Saya rasa kedua-dua negara ini boleh mendapat manfaat dengan bekerjasama dalam bidang baharu kerana kita sudah mempunyai hubungan perdagangan dan ekonomi yang kukuh, dengan nilai dagangan antara kedua-dua negara mencecah sekitar USD 4 bilion.
“Malaysia kini merupakan pelabur kesembilan terbesar di peringkat global, menandakan kita boleh pergi lebih jauh dan masih banyak potensi yang boleh diterokai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai bermesyuarat bersama Presiden SBF, Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg di pejabat SBF pagi ini.
Sementara itu, Abang Abdul Karim memberitahu, hasil mesyuarat mengenalpasti kerjasama dalam bidang pengeluaran makanan sebagai potensi terbesar yang boleh dilaksanakan antara Sarawak dan Bangladesh.
“Kami meneroka bidang yang boleh diadakan kolaborasi dan mengenal pasti sektor makanan, yang mana Bangladesh cukup mahir dalamnya,” katanya.