Sarawak terima cadangan DPPM

KUCHING: Pusat Sehenti (OSC) MIDS mengalu-alukan cadangan Drug Policy Program Malaysia (DPPM) yang memilih Sarawak sebagai satu tempat untuk menjalankan program rintis ala dekriminalisasi.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, OSC MIDS Sarawak akan mula memberi penerangan kepada komuniti supaya menghayati faedah bukan penguatkuasaan.

Faedah bukan penguatkuasaan itu ialah melalui rawatan dan pemulihan kesan penyalahgunaan dadah dan substans, katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Fatimah menerima kunjungan hormat daripada Drug Policy Program Malaysia yang diketuai Pengarahnya, Palani Narayanan di pejabatnya di sini.

Dalam kunjungan itu, Fatimah diberi penerangan mengenai keperluan reformasi dasar dan tindakan alternatif berkaitan penggunaan dadah bagi menangani isu-isu seperti kesesakan di penjara dengan
fokus jangkitan penyakit berjangkit; bebanan tugas agensi penguatkuasaan; kesan rekod jenayah; perbelanjaan negara; dan stigma dalam masyarakat.

Tujuannya, kata Fatimah, untuk memberi peluang kedua memulihkan masyarakat dan Kerajaan Sarawak menyediakan modal pemulihan sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga melalui program LIFE (Low Income Family Empowerment).

Beliau berkata, langkah ke hadapan strategik OSC MIDS Sarawak ialah untuk menyokong dan menerima faedah bukan penguatkuasaan ke atas penggunaan dadah dan substans dengan memberi fokus kepada rawatan dan pemulihan.